Tuesday, March 17, 2009

Telah Kupilih JalanMu

Telah kupilih jalanMu
Jalan yang mendekatkan aku padaMu
Jalan orang-orang yang beriman dan beramal soleh
Dan aku yakin sebenar-benarnya
Cintaku padaMu takkan pernah dikecewakan

Namun Tuhan,
Ampuni aku,
Fitrah hati ini terlalu berat untuk kubuang
Terlalu pahit untuk ditelan
Tapi terus-terusan aku gagahkan
Demi menggapai cintaMu Yang Esa

Bantulah aku Tuhan
Jika rinduku ini imaginasi syaitan
Dan kuminta ia dilenyapkan
Andai kasihku berlandaskan nafsu
Kumohon matikanlah rasa cinta yang belum tentu jadi milikku

Tolonglah aku Tuhan
Untuk mengisi bejana cintaku untukMu
Agar aku takkan pernah dahagakan
Cinta dari insan yang tak halal bagiku
Teguhkan kasihku untukMu
Agar aku tak kecundang dijajah cinta yang dusta
Yang menjadi hijab di antara kita
Tetapkan langkahku di jalan ini

Gagahkan aku Tuhan
Untuk menenggelamkan kapal cinta manusia
Walau ia se'gah' bahtera 'Titanic'
Tetapku pinta ia karam
Jika belayar ia di lautan dosa

Dan kumohon Tuhan
Damaikanlah ombak di hati
Walaupun ribut datang mengundang
Kasihku diikat di dasar Rabbi
Kerana ianya lumrah ujian..
Dan akan kuterus tekadkan janji
Kerana telah kupilih jalanMu.

Andainya Cinta Itu Hendak Diberi

Andainya sedikit daripada cinta itu hendak diberikan kepada seseorang yang boleh bergelar suami, pilihlah seorang lelaki yang;

1.Kuat Pengamalan Agamanya
Ukuran boleh dibuat apakah dia menjaga sembahyang fardhunya biar sesibuk mana, kerap berjemaah dan sembahyang pada awal waktu.

Ukur juga, apakah dia menjaga auratnya dengan memakai pakaian yang sopan terutama sewaktu bersukan.

Mengutamakan pemuda yang kuat pengamalan agamanya ini adalah sunnah Rasulullah s.a.w. kerana baginda menerima pinangan Sayidina Ali, seorang pemuda paling miskin tetapi paling bertakwa untuk menjadi suami anaknya, Siti Fatimah.

2. Baik Akhlaknya
Ketegasannya nyata tetapi sebenarnya dia seorang yang lembut dan mudah bertolak ansur. Dia bertutur dengan sopan kerana melambangkan peribadi dan hatinya yang mulia. Rasulullah s.a.w. bersabda;

"Jika (seorang lelaki) datang (untuk meminang anak perempuanmu) dan kamu berpuas hati dengan agamanya serta akhlaknya,nikahkanlah dia (dengan anak perempuan kamu). Jika hal itu kamu tidak lakukan maka akan terjadi fitnah di bumi dan kerosakan yang amat luas."


3. Tegas Mempertahankan Maruah
Ukur, apakah dia pernah pergi ke tempat-tempat yang bleh menjatuhkan kredibiliti dan maruahnya seperti ke tempat-tempat hiburan yang penuh dengan maksiat.

4. Amanah
Selidiki, apakah dia seorang yang tidak pernah mengabaikan tugas yang diberikan kepadanya atau apakah dia pernah menyalahgunakan kedudukannya.

5. Tidak Boros
Dia bukanlah kedekut tetapi seorang yang tahu membelanjakan wangnya dengan bijaksana. Nikmat yang ada padanya seperti makanan boleh dikongsi sama dengan orang-orang lain yang berhak.

6. Tidak Mengelingas Matanya
Perhatikan apakah matanya kerap mengelingas ke arah perempuan lain yang lalu-lalang sewaktu berbicara. Jika begitu, dia seorang yang bermata keranjang dan berbahaya untuk disenaraikan calon suami.

7. Terbatas Pergaulan
Dia tidak mengamalkan cara hidup bebas walaupun sebagai lelaki dia tahu dia tidak mudah menjadi fitnah orang.

8. Siapakah Rakan Pergaulannya
Rakan-rakan pergaulan adalah yang sama sepertinya.

9. Bertanggungjawab
Rasa bertanggungjawabnya dapat diukur kepada sejauh manakah dia menguntukkan dirinya untuk ibu bapa dan ahli keluarganya. Jika dia seorang yang agak berada tetapi keluarganya hidup susah,dia bukanlah seorang yang bertanggungjawab.

10. Tenang wajahnya
Apa yang tersimpan dalam sanubari kadang-kadang terpancar pada air muka. Perhatikan, apakah wajahnya tenang, setenang sewaktu dia bercakap dan bertindak. Andainya dia seorang yang kelam-kelibut dia bukanlah calon suami yang anda cari-cari.

  • Berbahagialah anda jika dicintai calon suami yang demikian sifatnya. Semoga berbahagia di dunia dan akhirat.
  • Cinta seorang wanita bukan untuk 'buaya-fren' tetapi untuk suaminya yang sah.